Friday, September 28, 2007

SELAMAT MENYAMBUT ULANG TAHUN NUZUL QURAN

Segala puji-pujian dan syukur kehadrat Allah yang telah melimpahkan Rahmat serta RahimNya melalui RasulNya yang Amin. Betapa sekali lagi kita berpeluang menemui Ramadhan yang Mubarak dan esok, 29hb September 2007 bersamaan 17 Ramadhan 1428 Hijrah, genaplah 1428 tahun Al-Quran di Nuzulkan.

Pada Ramadhan 1428 tahun yang lalu, Al-Quran telah di Nuzulkan oleh Allah kepada kita, melalui RasulNya. Gua Hira’ menjadi saksi kepada Muhammad akan ke Rasulannya yang akan membawa dan mengembangkan risalahNya kesekian alam.

Bermula dari saat itu, bermulalah perjuang Baginda menyeru manusia kepada satu cara hidup yang berlandaskan kepada kehendak Allah dan meninggalkan segala bentuk kehidupan yang kufur dan merosakkan. Kewafatan baginda bukan bermakna tamatnya ajaran suci ini. Para sahabat yang setia yang terkenal dengan gelaran Ar-Rasyidin, telah meneruskan perjuangan ini berpandukan pusaka yang ditinggalkan baginda iaitu Al-Quran dan Hadis.

Maka saban tahun, Nuzul Quran dinanti dan dirai oleh umat Islam sebagai tanda kesyukuran kepada Allah yang telah melimpahkan Rahmat serta RahimNya kepada kita yang telah menurunkan kitab suci ini melalui RasulNya yang Amin sebagai panduan kepada umat RasulNya membina satu tammaddun yang dirahmatiNya.

Kecintaan terhadap Al-Quran bukan sekadar menuntut khatam bacaan pada bulan Mubarak ini, tidak juga sebagai penghias majlis melalui alunan bacaan yang mendayu mencuit qalbu, tidak juga sebagai hiasan dinding dengan keindahan kalgrafi. Kecintaan terhadap Al-Quran menuntut lebih dari itu iaitu ‘Perlaksanaan Terhadap Panduang Yang DiBeri’.

Sayang, sejak ketiadaan Ar-Rasyidin, fikiran umat Islam mulai memperlihatkan kekusutan. Tambahan lagi dengan pertembungan falsafah asing seperti Parsi dan Yunani. Umat Islam yang Fasiq, Munafiq dan Kufur dengan mudah dipengaruhi oleh para musuhnya melalui idea-idea yang bercanggah dengan Aqidah Islam. Akhirnya agama suci ini disempitkan sebagai agama ritual yang digunakan untuk memenuhi kehendak rohani sahaja.

Lantaran jauhnya dari Al-Quran (dalam usaha melaksanakan kandungannya) tidak hairanlah umat Islam kian lemah. Bermula dengan penjajahan, sistem kehidupan berpandukan Al-Quran telah diganti dengan sistem kehidupan yang diperkenalkan oleh penjajah. Tiada lagi rasa bersalah atau kesal apabila ayat berkaitan riba dibacakan, sedangkan kehidupan bergelumang dengan riba, adalah bukti jelas betapa tersisihnya Al-Quran dari jiwa umat Islam.

“Sesungguhnya akan terungkai ikatan Islam itu, satu demi satu. Setiap kali terungkai satu ikatan, mereka (umat Islam) akan berpegang dengan ikatan yang seterusnya. Yang pertama adalah Pemerintahan, dan yang terakhirnya adalah solat” – HR Imam Ahmad.
Wahai saudaraku yang di Rahmati Allah. Telah sampai waktunya kita bermuhasabahkan diri. Menilai tahap kecintaan kita terhadap Al-Quran. Sejauh mana pengamalan dan kepatuhan kita dalam kehidupan seharian. Bandingkan kepatuhan kita antara Perlembagaan Negara yang berteraskan Common Law British dengan Al-Quran. Dimanakan kedudukan Al-Quran?

No comments: