Sunday, November 25, 2007

NILAI SEBUAH KEBEBASAN

Setelah gelora Gelombang Kuning yang berlaku pada 10hb November 2007 reda, satu lagi sejarah tercatat pada 25hb November 2007, gelombang hitam pula melanda, kali ini dilakukan oleh kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Hindu Rights Action Force (Hindraf).

Walau apapun yang hendak disampaikan, atas nama demokrasi tulen dan kebebasan bersuara, kumpulan ini tetap telah melakukan:-

1) Gangguan kepada sebuah kehidupan
2) Menggugat ketenteraman awam
3) Merosakkan harta benda awam
4) Menzahirkan sifat yang penuh dengan kebencian

Dan yang pastinya, tindakan ini adalah lahir dari golongan manusia yang tidak mengenal erti kesyukuran dan mengekalkan prinsip “hanya aku yang betul, orang lain salah belaka”

Demikianlah peri keadaan apabila tiada lagi kecintaan terhadap Rasulallah. Tinggalan baginda, berupa Al-Quran dan Hadis, tidak lagi menjadi panduan kehidupan.

Atas nama liberal, Islam dimunculkan dan dipasarkan (branding) sebagai produk jualan. Demokrasi dijulang dan menjadi satu sembahan, lantaran lupa ianya adalah produk yang dilahirkan oleh manusia yang jauh dari rahmah dan rahim Allah.

Berteraskan suara majority, suara terbanyak menjadi pertaruhan tanpa mengambil kira quality suara tersebut lahir dari kumpulan manusia yang:

1) Islam dan Beriman
2) Islam yang Fasiq
3) Islam yang Munafiq
4) Kufur

Baiknya demokrasi apabila suara majority itu adalah Islam dan Beriman, dan malanglah demokrasi itu sekiranya suara majoritinya ada Fasiq, Munafiq dan Kufur. Mungkin Hadis yang di Riwayatkan oleh Imam Bukhari boleh dijadikan renungan:

“Ditunjukkan padaku berbagai umat. Ada nabi yang hanya bersama seorang pengikut. Ada pula bersama dua orang pengikut. Ada yang bersama sekumpulan (kurang daripada sepuluh orang). Adapula nabi yang tiada seorang pun bersamanya…”.

Yang pastinya “tiada seorang nabi pun yang mengubah prinsipnya kerana inginkan pengikut. Sekalipun terpaksa menghadapi suasana kontang. Lihat saja Nabi Nuh a.s. seperti yang dirakamkan oleh al-Quran dalam surah Nuh.” – Musti Perlis dalam Minda Mufti.

Ironinya dalam sejarah terbaru ini, Institusi DiRaja yang bersifat Monarki menjadi perhatian dan tumpuan kepada “ahli gelombang” untuk mengadu, seolah-olah lupa kepada prinsip demokrasi atau mungkin telah mula hilang kepercayaan terhadapnya.

Rata-rata dalam sebuah perhimpunan awam, akhlaq menjadi mangsa pertaruhan. Pergaulan, perbuatan, kata-kata tidak lagi berlandaskan tuntutan yang digariskan oleh Al-Quran dan Hadis, lantaran sifat benci dan marah yang menguasai diri.
Sampai bila kita akan menjadi hamba kepada system pihak musuh?

No comments: