Monday, January 28, 2008

MA'AL-HIJRAH

Saban tahun kita menerima Awal Muharam sebanyak dua kali mengikut calendar Masehi. Muharam, merupakan bulan permulaan mengikut calendar Islam (Hijrah) mencatatkan sejarah penghijrahan Al-Amin dari Kota Makkah ke Madinah akibat dari tindakan ganas pihak kuffar yang melakukan penyiksaan dan pebunuhan kejam ke atas Muslimin.

Maka saban tahun jugalah sejarah Hijrah ini diperdengarkan, malangnya hari demi hari Sirah Nabi ini gagal melahirkan rasa cinta kepada baginda oleh pengikutnya. Sebaliknya sirah ini menjadi dongeng lagenda.

Di setengah-setengah tempat, kehadiran Alwal Muharam ini melahirkan satu bentuk perayaan baru yang didikenali sebagai Maal-Hijrah dan membudaya disisi masyarakat.

Kajian terhadap Sirah Hijrah Baginda tidak pernah disusuli dengan tekad dan azam untuk mencontohi perbuatan dan baginda lantaran rasa cinta dan sayang terhadap baginda yang kian pudar.

Tanpa sedar, nilai perayaan Maal-Hijrah yang dibentuk oleh para cendiakawan dan ilmuan terdahulu sebagai usaha menyebar-luaskan aqidah tauhid dikalangan masayarakat kian hilang fungsinya. Pengisian perayaan Maal-Hijrah bukan sekadar kepada hidangan bubur asyura, sebaliknya mendidik untuk bermuafakat dan berkerjasama. Sejak A’sar, tempat ibadah dipenuhi untuk memunajatkan doa akhir tahun dan diikuti dengan doa awal tahun setibanya waktu Maghrib.

Mengimbau Sirah Rasul, terbayang bagaimana siksanya Bilal bin Rabbah mempertahan aqidahnya. Siksaan sang algojo yang ganas dan tidak berperi kemanusiaan tidak sedikit pun menggoncang hatinya untuk berpaling meninggalkan agama suci ini. Betapa hebatnya qibti ini menahan segala siksaan quraisy.

Tidak lupa juga kepada Sumayyah binti Khabbab yang gagal dibutakan matanya untuk melihat kebenaran yang terdapat pada agama suci ini, sekalipun biji matanya dicungkil keluar. Tusukan besi panas juga tidak mampu untuk melunturkan iman hamba ini yang akhirnya gugur syahid akibat rejaman lembing Abu Jahal.

Sejarah Hijrah turut mendidik kita untuk menolak sebarang bentuk kemungkaran terhadap penganutnya dengan cara aman. Meskipun pemerintahan Makkah mengenakan pelbagai bentuk tekanan, ancaman dan penyiksaan terhadap perkembangan syiar Islam dan pengikutnya, tiada berlaku peristiwa dimana Rasulallah dan pengikutnya melakukan pelbagai bentuk protes dan tunjuk perasaan membantah tindakan penduduk Makkah.

Tiada juga berlaku dalam lipatan sejarah hijrah, Rasulallah merayu atau membuat tuntutan agar ajaran yang dibawanya diiktiraf atau membuat sebarang bentuk rundingan tolak ansur dengan kaum Quraisy. Tiada juga berlaku pendekatan untuk memerangi pemimpin (Kota makkah) lantaran tindakan mereka yang mungkar dan ganas.

Apa yang berlaku adalah sebaliknya. Rasulallah mencari tapak baru untuk berdakwah (pastinya Hijrah itu adalah perintah Allah), lalu Madinah menjadi lokasi pilihan. Bukankah Tuhan telah Berfirman “Tidak aku jadikan Jin dan Manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu”.

Hijrah Rasul juga turut mengajar dan membuktikan bahawa bumi Allah itu luas dan agama Allah itu tiada sempadan geografi politik. Warga muslimin hanya terikat kepada sempadan aqidah dan bukannya sempadan geografi dan politik.

Sekiranya sesuatu tempat berlaku perkara-perkara yang tidak diredhai Allah dan kita tidak berupaya mengubahnya (setelah berusaha), sejarah Anbia mengajar kita untuk meninggalkan kawasan (tanpa melupakan untuk terus menyampaikan risalah Allah) tersebut kerana pastinya azab Allah pastinya akan turun di tempat itu.

Peristiwa Sumayyah mengajar kita agar bersabar dan redha terhadap ujian kezaliman musuhNya, dan bukannya mengambil tindakan membalas dendam. Perlulah kita ingat bahawa, terdapat perbezaan antara membela (atas sifat dendam) dengan usaha menyelamatkan mangsa kezaliman.

Kita hanya diberi kebenaran untuk mempertahankan hak (yang selaras dengan syara’) dengan kekuatan (jika ada). Andainya tiada kekuatan memadailah dengan lidah dan hati, selebihnya redha dan doa kepada Allah.

Ketibaan Muharam adalah diharapkan menjadi sempadan baru kepad muslimin membina tekad baru dan melaksanakan ajaran-ajaran Islam mengikut contoh yang dibawa oleh Rasulallah dan bukannya mengikut tafsiran sendiri yang didorong oleh nafsu dan dilabelkan dengan perkataan Islam.

Seharusnya kita tidak menyekat diri untuk menyebarkan agama tauhid ini beralasan larangan yang diwujudkan oleh pemerintah. Bagi sebuah Negara yang bersifat demokrasi, kerajaannya dipilih oleh rakyat secara majority dan majority rakyat itulah yang membentuk pelbagai bentuk dasar dan peraturan.

Telah tiba masanya umat Islam melupakan sempadan geografi dan politik yang menyekat mereka selama ini. Jangan biarkan diri kita dimandulkan dengan konsep kewarganegaraan yang konvensional.

Mungkin juga telah tiba masanya Negara-negara OIC bersefahaman untuk menerima kehadiran rakyat dikalangan Negara-negara anggotanya dan melupakan konsep kewarganegaraan yang dibawa oleh penjajah kita dahulu.

Bukankah Muhammad itu pembawa Rahmat kesekelian alam?

No comments: